Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Kesempatan ini saya ucapkan selamat hari raya aidil fitri maaf zahir dan batin kepada semua rakan rakan di Selambau Hill, kawan kawan di Sekolah Kebangsaan Selambau Hill, Cikgu cikgu SKBS yang pernah menabur bakti seperti Cikgu Md Yusof Ishak, Cikgu Nan Bin Man, Cikgu Abdullah (Cikgu Lah) dll, untuk rakan rakan di Sek. Men Selambau Hill (Form 1 sampai form 3) seperti Norhisham Nordin, norzaidi nordin (gelecek bola hang menakjubkan), Alon, awang kecik, leman, piee goden, lan ramli, che su ahmad( anak dah berapa orang agaknya), salmiah, hasnah, khairul jafriah, salasiah ali (hang dulu pendiam sungguh) , mat suri, siti norhayati, aminah aziz, dan untuk cikgu yang tak pernah penat menabur jasa di SMBS seperti cikgu bakar awang(cikgu dah bersara kot...saya banyak kali kena pulas perut dengan cikgu), cikgu rusli tahir, cikgu salmah ajar ilmu alam(cikgu dulu lawa sungguh..tapi bila cikgu kahwin kami pelajar lelaki ada yang frust jugak), tapi cikgu yang paling kamceng dengan Mad Bomber adalah Cikgu Hamid (ajar Sains Pertanian ... cikgu masih naik scrambler ke...last kita jumpa masa kita sama sama belajar kat UTM Skudai dulu), ustaz kadir (saya masih ingat ustaz bawa saya pi lawan kuiz agama islam soalan last saya tak dapat jawap kemudian sekolah kita kalah)...
Untuk rakan di Sekolah Men Khir johari SP (form 4 sampai form 5) seeperti Sabri, Ismail 9Ketua kelas dan pengawas yg selalu tangkap orang merokok tapi selalu ada Marlboro dalam beg..sorry), Filzah (hang dulu macam anti lelaki saja), Safiani (hang yg paling lawa dalam kelas kita sampai pelajar cina pun dok gila kat hang..masih kerja kat Bank Rakyat ke). Syarifah (hang macam Pritta Zenti hollywood) masih kat BSN ke...Ramli hang yg paling briliant dapat masuk UPM dikalangan geng loklak kita..karim (kita selalu buat bising sampai kena dok jauh dalam kelas, Phissol (hang yg paling alim maklumla anak ulamak), dan teman paling kamceng sampai la ni..Perwira Abu Kasim...nampak saja loklak tapi Add Maths dan kimia hang aku respect habis tapi hang tak leh lawan fizik aku...tapi hang buat leceh bila kena reject masa first year kat UM dulu)...
Untuk rakan rakan di kelas Jentera AM PUO dan penghuni asrama Blok G sesi 1984/85 semoga sukses..buat jurey latif yang dah jadi pengarah filem terbilang, Shamrin fotograf yg masih aktif menyanyi, Salim askar, halim, din kampong dll ..maaf zahir batin

Wednesday, September 17, 2008

Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada

Mad Bomber pernah ditugaskan di Thailand sebanyak 2 kali dan pernah berpuasa disana. Inilah kali pertama Mad Bomber berada diluar negara pada bulan puasa walalupun dah banyak kali keluar negara tetapi tiada peluang berpuasa disana. Mad Bomber sempat menjelajah beberapa bandar dan kampung walaupun suasana agak tegang ketika itu dan bila berada dalam situasi genting begitu barulah kita akan bersyukur kerana berada di Malaysia yang aman damai dan bebas beramal ibadat. Mad Bomber sampai di suatu lokasi yang ditugaskan dan dimaklumkan oleh sahabat Mad Bomber dari Thailand bahawa seorang anggota polisnya baru sahaja terbunuh berdekatan tempat yang Mad Bomber berada..kena bom sejam yang lalu katanya...agak mendebarkan. Selesai tugas Mad Bomber sempat singgah disebuah kampung orang Islam beli murtabak untuk berbuka...cuma kampung itu yang agak selamat boleh singgah sebab Mad Bomber dinasihatkan tidak singgah di pekan nya kerana bahaya. Sepanjang jalan dari hotel penginapan ke tempat tugas mengambil masa 3 jam dan melalui banyak kg orang Islam. Agak sedih juga bila melihat anak-anak mereka dalam keadaan comot dan tidak terurus berada ditepi jalan. Mad Bomber terlintas juga dalam hati ...jika aku ditakdirkan berasal dari sini bagaimana agaknya keadaan Anisah, Aliah, Fatyhah dan Maisarah dengan pakaian yang comot dan hidup dalam serba kedaifan. Masa Mad Bomber beli murtabak ..mak cik yang jual tak nak terima matawang mereka tapi nak dalam ringgit. Mad Bomber tanya kenapa nak ringgit ..dia kata ringgit la bagus... lagi satu yg Mad Bomber bangga tentang negara kita...matawang kita lebih dikehendaki dinegeri orang. Keadaan rumah mak cik yang jual murtabak tu amatlah daif sekali..Mad Bomber tak tahu macamana dia nak menghadapi hari raya kelak. Bagaimana dia nak membeli baju raya untuk anak-anak dia yang masih kecil tu. Kueh apa yang dia akan sediakan...pastinya semuanya akan berhari raya dengan apa yang ada saja. Anisah, Aliah, Fatyhah, Maisarah dan Wawa telah ditempah baju kurung dan pasrtinya kalau tak SOGO mungkin Jaya Jusco atau Parkson akan dikunjungi nanti untuk aksesori raya yang lain, tapi anak-anak mak cik murtabak tu pastinya akan berhari raya dengan ala kadar saja... masa di Selambau Hill dulu masa nak raya beginilah ramai mak cik-makcik akan ke pajak gadai di Pekan Lama Sg. Petani...pajak barang kemas buat belanja raya, "apa nak buat anak-anak tau nak ada saja depa bukan tau kita ada duit ka tak dak" keluh seorang jiran Mad Bomber dulu. Mad Bomber sendiri pernah ikut arwah mak Mad Bomber pergi ke kedai pajak ni masa kecik-kecik dulu. Lepas arwah mak berbincang-bincang arwah Mak dihulur duit oleh tokeh cina kedai pajak tu... "buat belanja raya kata mak...dah berapa hari tak boleh motong" tambah mak. Mungkin dengan duit gadai barang kemas tu la Mad Bomber dapat baju raya, buat beli daging dan beli lain-lain persiapan raya.
Bertuahnya Anisah, Aliah, Fathyah, Maisarah dan Wawa gosok saja lampu ajaib aladin Mad Bomber semua dapat... tapi entahlah Mad Bomber sendiri tak tahu adakah mereka sentiasa memikir perit jerih Mad Bomber dan isteri bekerja untuk mendapat seringgit atau mereka pernah terfikir macamana Mad Bomber memikirkan Mak Cik Murtabak di Yala tu berhari raya. Harap-harap mereka akan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Saturday, September 6, 2008

Mata gelap kerana duit

Semalam Mad Bomber (MB) pergi servis kereta di bengkel yang MB selalu pergi. Bengkel ni kepunyaan saudara MB juga tetapi mekanik semua melayu. Ada tigaempat orang semuanya mekanik yang kerja diisitu. Salah seorang tu orang Lubuk Kawah dekatlah dengan Selambau Hill..pencen mekanik askar..kerjanya amat teliti dan cukup jujur... kalau rosak dia akan kata rosak kalau boleh pakai lagi dia takkan ganti sesuka hatinya. Salah seorang dari mekanik tu orang utara juga kerja dia ok juga banyak kali kereta MB dia repair. Tetapi semalam semasa MB pergi hantar kereta servis MB tanya mana pergi mamat yang sorang lagi tu... teman mekanik Lubuk Kawah bagi tahu dah diberhentikan oleh pengurusan. Tak amanah katanya... ada dua tiga kes orang hantar kereta untuk overhaul dia ambil duit dulu dan dia tak declare dengan bos...kerja tak siap duit lesap...ada juga kes dia buat kerja repair tak buka bil..duit dia masuk poket dia. Gaji bulan dapat.... gaji yang dia kutip sendiri pun dia kebas. Bila okey tahu baru tergagap gagap nak explain..last last kena terminate. MB dibagi tahu dia pi kerja dengan bengkel lain pula.
Moral of the story ialah dengan duit ni banyak orang tewas..dek kerana kepala agong semua orang boleh lupa diri gelap mata dibuatnya. MB teringat sorang konduktor bas No. 7 Sealambau Hill dulu..orang Selambau Hill panggil kolet bas. Kolet bas ni nyonya duduk di pekan Selambau Hill. Dia ni walaupun seorang cina dan bukan Islam tetapi sifat sifat amanah yang dia ada mengatasi orang Islam sendiri. Kalau kolet lain kita bagi duit kadang kadang tiket tak bagi...masuk kat dia duit tu. Tapi Nyonya ni kalau dia tak dan nak bagi tiket sebab orang ramai dia akan koyak tiket tu.. maknanya dia tak akan ambil duit tu untuk dia..itu duit company.

Friday, September 5, 2008

Berpuasa dan keberkesanannya kepada amalan harian

Setiap hari Mad Bomber berulang alik ke pejabat seawal 6.45 pagi lagi tetapi selepas 5 hari berpuasa keadaan trafik begitu gawat sekali. Jem begitu teruk sekali. Mungkin selepas sahur dan subuh semua berbondong bondong kepejabat. Mad Bomber ingat ketika kita berpuasa tahap kesabaran kita akan meningkat tetapi masyarakat seolah olah berasa tension bila berada dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Keadaan pemandu yang seperti terkena histeria agak lebih teruk berbanding bulan tak puasa. Potong Q, potong double line seperti menjadi amalan sunat dibulan puasa ini. Dicermin kereta belakang tertampal "The Little Khalifah on Board" tetapi menjadi "The Little Mafia on Board" sikap The Little Khalifah ini memalukan umat Islam, potong Q mungkin menjadi subjek teras mereka mungkin semasa di kelas memandu dulu, kesian para penunggang motorsikal yg mengelak apabila kereta datang dari arah depan memasuki lorong mereka. Kalau peraturan dunia yang sebegitu ringan pun kita tidak boleh ikut apatah lagi kita boleh mematuhi arahan Allah yang lebih berat lagi. Mad Bomber pernah melihat seorang pemandu berkopiah ketayap dengan selamba melanggar lampu merah di depan Mad Bomber bini dia ada disebelah dan anak anak.. Mad Bomber tetap bersangka baik..dia rabun warna mungkin.. pemandu kini tidak boleh menandingi Drebar Teksi Yu Chin di Selambau Hill dulu ketika Mad Bomber masih bersekolah. Yu Chin pada Mad Bomber satu satunya pemandu yang paling berhemah di Selambau Hill dan tiada olok bandingnya di atas kesopananya bila berada di jalan raya.

Thursday, September 4, 2008

Star Rating

Seehingga 1 am aku didedahkan dengan konsep Star Rating. Baru tahu macam mana penerafan bintang diberikan kepada sesuatu badan atau organisasi seperti hotel Banyak kkriteria yang perlu dipatuhi. Hari ini pula dari 0900 hingga 1800 aku terperosok atas kerusi sambil melayan mata yang sekejap kecik dan sekejap besar..maklumlah depa buat seminar bulan puasa. Walau apa pun satu ilmu baru dapat hari ini. Paling bagus satu speaker bercakap pasal HR. Bagus cara dia tackle kelas yang separuh sedar tambahan pula hujan lebat diluar lagi bertambah ghuyup mata. Sememangnya mengurus manusia adalah lebih sukar dan sangat subjektif. Lima group selesaikan satu case study tetapi mendapat jawapan yang amat berbeza..begitulah kaedahnya kita menilai manusia yang tidak akan mendapat jawapan yang tepat. Selesai seminar hujan masih lebat tersangkut dalam jem 2 1/2 jam untuk sampai dirumah. Ketika itulah aku terbayangkan betapa sunyinya Selambau Hill yang tidak pernah merasai jem. Bayangkan perjalanan dari Sg Petani ke Selambau Hill cuma mengambil masa 25 minit. Isteriku cukup takut bila balik kampung diwaktu malam ....Selambau Hill menyeramkan katanya.

Tuesday, September 2, 2008

Salam Ramadan

Buat kekawan, rakan dan bekas-bekas teman sekampung lawatilah blog ini untuk kita terus berhubung.