Friday, January 15, 2010

Madien Saleh, Al Ula, Saudi Arabia






Kesempatan di Tanah Suci baru baru ini Mad Bomber telah dibawa melawat satu kawasan bersejarah di utara Madinah, lebih kurang 5 jam perjalanan kesana. Dalam perjalanan Mad Bomber singgah di Khybar, satu kawasan perkampungan di pergunugan yang terkenal dengan peperangan Khybar pada zaman Nabi dulu. Khybar adalah perkampungan Yahudi terbesar tetapi telah berpindah selepas beberapa siri peperangan.
Madien Saleh adalah satu kawasan yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco dan dikawal rapi oleh polis Saudi. Satu kawasan yang amat luas dengan dipenuhi gunung dan bukit batu. Kawasan ini adalah perkampungan kaum Nabi Saleh AS dimana kaum ini begitu takbur dengan kekuatan dan kekuasaan mereka dan ingkar kepada perintah Nabi Saleh untuk tunduk kepada perintah Allah. Mereaka mencabar Nabi Saleh dengan berkata kalau betul tuhan kamu berkuasa turunkan bala keatas kami, pasti kami tidak akan menjadi apa apa kerana rumah kami dibina didalam gunung gunung yang kukuh. Cerita ini ada di dalam al Quran (surah al akraf atau al Ahzab) lupa pulak sebab tak catit masa penerangan di bagi. Bila Allah turun bala dengan menurunkan angin ribut yang kuat kaum Nabi saleh telah berlindung didalam rumah mereka yang dibina didalam gunung dimana akhirnya mereka semua mati terkurung didalam rumah mereka sendiri. Kesan rumah kaum Nabi Saleh ini masih kekal terpelihara sehingga kini dan begitu menakjubkan kehebatan kaum Nabi Saleh yang cuba melawan kekuasaan Allah swt.

Pasai apa pilih yang tu

Semalam Mad Bomber singgah kedai dekat rumah lepas balik dari masjid lepas isya. Susu dengan pampers Wawa habis. Kawasan Rumah Mad Bomber komposisi orang Islam dengan bukan Islam sama banyak. Semua kedai ada jual yang halal campur yang haram. Dalam dok pilih barang terserempak dengan sorang lelaki Melayu dengan dua anaknya sebaya Sarah dan Wawa. Comel anak dia, dua dua pakai baju kurung. Tapi terkejut berok betul Mad Bomber bila terpandang ditangan si Bapa sedang memegang 2 tin Carlsberg. Awat jadi lagu tu. Banyak lagi yang boleh kita minum, teh ais ka, milo ais ka, cincau ka, lai Ci kang ka, Cendoi ka atau kalau nak special sangat pi la cari ayaq nira pun ok lagi. Bila terpandang muka dia macam terkejut tapi lepas tu dia selamba saja pi bayaq. Mad Bomber tak tau la ayaq tu dia bawa minum di rumah ka atau dia minum sambil naik motor dengan dua anaknya tu atau dia bawa balik minum di rumah sambil di saksi oleh anak dan isterinya..wallahualam. Baru teringat beberapa minggu lalu berhampiran rumah Mad bomber ada kedai 4D, setiap petang ramai orang Melayu berbaris membeli nombor sambil membawa anak yang kecil. Bagi training kot peringkat akar umbi.
Nak tegur tak terdaya, sat lagi dia bubuh sebijik terus koma, dah la kaburetor pun baru servis, tak berapa nak ok lagi. Apa pun kita tegur dalam hati sambil berdoa sahabat kita ini diberi petunjuk oleh Allah swt...amin

Sunday, January 10, 2010

Pasal puji memuji

Mad Bomber berkesempatan ke sekolah salah seorang anak Mad Bomber yang berjaya masuk ke asrama baru baru ini. Dalam kesibukan mengurus anak tersembang dengan seorang ayah yang juga menghantar anaknya ke asrama tersebut. Dari mula kami bersembang sahabat ini tidak putus putus memuji anaknya sendiri yang masuk asrama tersebut. Anaknyalah yang terbaik segala galanya dalam semua segi dari aktivti sukan disekolah, akedamik, menjadi sebutan para guru dan kawan kawan. Pendek kata semua yang terbaik adalah hak anaknya sahaja. Mad Bomber cuma mendengar sambil memandang kearah lain saja. Memualkan. Mad Bomber ada bagi tau kat dia kadang kadang budak budak ni nampak macam maksum saja masa kecik tapi bila dah mula bercampur dan jauh dari keluarga macam macam boleh jadi. Ini pengalaman Mad Bomber dulu masa jadi men in blue dulu, ada anak muda yang terjebak dengan aktiviti tidak sihat datang dari keluarga yang baik baik.
Teringat perangai arwah mak dan ayah dulu yang tidak pernah memuji anak anak sendiri di depan orang lain. Biarlah orang lain yang puji anak anak depa. Di Selambau Hill dulu ada satu kes, masa budak budak alim mengalahkan imam tetapi bila besar sikit tup tup kena tangkap dok mengendap rumah orang. Kawan Mad bomber pun sama, anak dia masuk sekolah agama, masa cuti dia balik kerumah dia tegur bapa dia sebab pakai seluar pendek dalam rumah. Tetapi kesudahannya kena buang asrama sebab berkhalwat degan student perempuan. Inilah dugaan dan pancaroba dunia hari ni yang perlu kita hadapi. Bak kata arwah mak Mad Bomber " hangpa tak pandai pun tak pa asalkan jadi manusia". Masa tu terpikir juga Mad Bomber "la ni aku ni bukan manusia ka" Sekarang baru paham "biarlah jadi manusia dulu baru pandai dari jadi pandai tapi tak jadi manusia".

Saturday, January 9, 2010

Temui kedamaian yang sebenar

Sepetang dipinggir Sungai Rhine, di bandar kecil Liege pinggir Brussel, Belgium memang mendamaikan tatkala memerhati itik itik berenang d iair yang amat jernih sambil menghirup udara dingin. Kedamaian itu tidak sehebat berada di pinggir Makam Rasullullah.
Kedamaian pagi ketika hujan renyai menyusuri sungai dengan Canal Cruise di bandaraya Amsterdam, Belanda suatu ketika amat mendamaikan tetapi tidak sedamai ketika beriktikaf di Masjid Nabawi.
Buat pertama kali berjogging di Hyde Park, London beberapa tahun lalu amat mendamaikan tetapi tidak sedamai berjogging antara Safwa dan Marwah.
Menghabiskan separuh dari malam di Barbourn Street, New Orlean, USA amat mendamaikan tetapi tidak sedamai separuh malam di Raudhah.
Kucupan bunga bunga di taman bunga di Amsterdam juga tidak sedamai kucupan Hajarul Aswad.
Berjalan jalan diwaktu salji memutih di Daerah Manhattan, New York amat mendamaikan dengan dikelingi bermacam gelagat manusia tetapi jauh lebih mendamaikan tatkala berjalan mengilingi Baitullah.
Menikmati jus segar dan dihidang dengan ikan keli goreng diwaktu petang dipinggir Sungai Missippi, Baton Rouge, USA amat mendamaikan tetapi jauh lebih mendamaikan ketika berbuka dengan tamar dan air zamzam masjid Nabawi.
Grand Canyon, USA amat menakjubkan lebih menakjubkan bila berada di Madain Saleh, Al Ula di perkampungan kaum Nabi Saleh yang ditimpa bala oleh Allah.
Bilik kecil hotel St. George, Chattam, Kent tidak lah sedamai bilik kecil Hotel Fal Al Saha, Makkah.
Keramahan para penjual di Bandar Tijuana, Mexico tidak setanding para penjual di Medinah dan Makkah.
Keenakan California Date ketika di Los Angeles tidaklah disehebat Kurma Ajwa di ladang kurma di Medinah.
Kedamaian bandaraya Glasgow dan Edinburgh Scotland tidak sedamai ketika di Taif.
Bergunting rambut oleh banduan Under Parol di Louisiana Police Academy tidak sehebat bergunting ketika bertahallul.
Keasyikan lagu dendangan penyanyi dilobi hotel di Washington memang mendamaikan tetapi air mata menitis bila Imam Masjidil Haram Abdul Rahman Subaiys membaca surah ketika mengimamkan solat.
Sepetang di Wharf San Francisco amat mendamaikan tetapi sepetang di Hijir Ismail lebih mendamaikan.
Melepak di Quantico Virginia amatlah mendamaikan tetapi tidak sedamai lepakan di belakang Makam Ibrahim setiap subuh.
Keheningan Niagara Fall Canada amat mendamaikan tetapi lebih mendamaikan di Raudah.
Kota kota lama di Brussel amat menakjubkan tetapi lebih menakjubkan binaan Baitullah.
Suasana subuh di Zurich, Swirtzerland amat mendamaikan tetapi lebih mendamaikan subuh di Babusalam.
Panas di Phoenix Arizona hingga ke tulang hitam tetapi panas kota suci Makkah menyejukkan setiap hati yang hitam.
Kedamaian Pantai Ancol, Jakarta memang mendamaikan tetapi lebih mendamaikan bila memandang Masjid Nabi dari jendela hotel Manzeli, Medinah.
Kedamaian ketika berada di puncak CN Tower, Toronto Canada tidak sedamai ketika tangan ku mamaut jenang pintu Kaabah.
Pengalaman mengangkat mayat ketika bertugas dulu tidak menginsafkan berbanding berpeluang mengusung jenazah masuk ke Masijidil Haram untuk disembahyangkan.
Bangga sekali bila dapat memakai Levis atau Orlando tetapi tidak sebangga bila tubuh di balut dua helai kain tanpa jenama.
Keenakan zam zam tidak boleh ditandingi ketika menikmati cappucino di coffee house di hotel di Santa monica.
Pengalaman ke UK, Belgium, Germany, Holland, Swirtzerland, Canada, Alaska, USA, Tokyo, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Singapore, Indonesia, Dubai tidak sehebat pengalan ketika berada di kotasuci Medinah dan Makkah.
Perjalanan ke kota suci ini diharap bukan perjalananku yang pertama dan terakhir jika di murah rezeki mungkin saban tahun akan kesana dan berharap hayat juga berakhir disana...Amin.