Wednesday, November 5, 2008

Tahniah Barack Husien Obama....

Kemenangan Barack Hussien Obama sebagai Presiden baru Amerika Syarikat tidak mengejutkan ramai pihak kerana dari awal lagi sejak Obama seorang Gabenor Demokrat dari Illinois ini menawarkan diri bertanding ramai telah menyokongnya. Walaupun telah mendapat tentangan yang hebat dari Hillary Clinton semasa pemilihan peringkat parti Demokrat tempohari namun Obama telah membuktikan bahawa warga Amerika Syarikat sekarang telah berani untuk berubah. Kesanggupan warga kulit putih memberi undi mereka kepada Obama sesungguhnya amat memeranjatkan Mad Bomber.
Mad Bomber pernah ke negeri Uncle Sam beberapa kali dan ramai rakan Mad Bomber dalam Bomb Squad mereka dikalangan kulit putih dan kulit hitam. Mad Bomber pernah berada di Lousiana selama lebih dua bulan. Terdapat seorang rakan warga kulit hitam berasal dari Senegal dan telah menjadi warga Amerika sejak beberapa tahun lalu. Sahabat Mad Bomber ini seorang Islam dan selalu bercerita mengenai Islam samada dinegeri asalnya Senegal atau kehidupan islamnya di Amerika. Kerapkali juga dia merungut mengenai diskriminansi yang dialami oleh warga kulit hitam sepertinya dan kesukaran mengamalkan islam di Amerika. Pernah dia bercerita bagaimana jirannya seorang kulit putih berpindah kerana tidak mahu berjiran dengan seorang kulit hitam. Pernah satu ketika ketika Mad Bomber dan rakan rakan dalam perjalanan dari L.A ke Tijuana, Mexico, dan sekumpulan warga kulit putih bermotorsikal besar sedang berkonvoi dilebuhraya telah menendang van yang kami naiki dan mengeluarkan kata kata menghina keatas sahabat Mad Bomber ini, kata kata kesat itu lebih kepada menghina orang kulit hitam seperti sahabat Mad Bomber ini.
Semasa di Baton Rouge, Mad Bomber berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Muslim community center yang agak jauh juga dari tempat Mad Bomber berkursus. Hampir 98% ahli jemaah adalah berkulit hitam dan selebihnya warga arab. Semasa sesi tazkirah sebelum solat, imam meluahkan rasa kecewa kerana komuniti islam disitu berasa tidak selesa dengan tanggapan negative warga kulit putih dan masjid mereka telah dilempar najis dan dilepaskan anjing kedalam kawasan masjid. Mereka cuba mencetus provokasi, kata imam tersebut tetapi imam tersebut minta para jemaah jangan cepat mengambil tindakan sendiri dan minta para jemaah terus menguatkan ikatan sesama islam. Itu cerita 10 tahun lalu dimana sentiment warna kulit masih membelenggu rakyat negeri Uncle Sam ini, tapi kini trend ini nampak telah berubah, kalau tidak masakan Obama boleh menang tanpa undi warga kulit putih. Semoga perbezaan warna kulit bukan lagi menjadi isu, islam akan terus subur di sana, dan dasar luar Amerika terhadap Negara dan umat islam akan terus berubah kepada yang lebih baik selepas ini. Syabas Obama dan syabas kepada rakan NYPD, LAPD dan kenalan di FBI Academy, Washington DC, dan rakan di Anti Terrorism Asst. Program, Luoisiana semoga kehidupan anda akan lebih makmur dibawah Obama dan kepada sahabat Mad Bomber dari Senegal tadi dan teman teman Parol dari Louisiana Prison teruskan menegakan panji panji islam di bumi Amerika. Semoga Allah s.w.t merahmati anda semua.

No comments: